PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS) ADALAH SEBUAH GERAKAN ISLAM...... DASAR PERJUANGAN PAS ADALAH ISLAM......AHLI PAS BERPEGANG TEGUH PADA AL-QUR'AN DAN SUNNAH NABI S.A.W .......... VISI KAMI BERHARAP KEPADA RAHMAT ALLAH DAN SEMOGA KAMI LAYAK DIMASUKKAN KEDALAM SYURGANYA........MISI KAMI BERJIHAD UNTUK MENCAPAI KEREDHAAN ALLAH MEMPEROLEH RAHMAT DARINYA.......KAMI MENEGAKKAN AMAL MAKRUF DAN NAHI MUNGKAR..........KEHIDUPAN KAMI BERTERASKAN AQIDAH, SYARIAT DAN TASAUF..........KAMI MENGAMBIL PENDEKATAN DAKWAH, SIASAH DAN TARBIYAH..........KAMI MENURUT SUNNAH PERJUANGAN NABI S.A.W ..........KAMI MENDOKONG KEPIMPINAN ULAMA'..........KAMI MENYERU RAKYAT MEMBANGUN BERSAMA ISLAM.........PAS UNTUK SEMUA,JOM SERTAI PAS........INILAH PERJUANGAN DAN PENGORBANAN YANG DIREDHAI ALLAH..........LAUNGAN KAMI ALLAHUAKBAR!......ALLAHUAKBAR!.....ALLAHUAKBAR!.......PAS BERJUANG UNTUK MENEGAKKAN SYARIAT ALLAH SERTA MEMPERTAHANKAN SEMUA BANGSA-BANGSA ATAS HAK DAN KEADILAN ISLAM......PAS MELETAKKAN KEAGAMAAN TERATAS DALAM PAKATAN RAKYAT.....PAS MEMPERTAHANKAN KEBEBASAN AMALAN AGAMA LAIN.

PAS PuchongBlog YDPMGP

Wednesday, September 22, 2010

Kelantan senarai hitam l’DA World

Kelantan senarai hitam l’DA World


Ditulis oleh Rizal Tahir

WEDNESDAY, 22 SEPTEMBER 2010 16:30



KOTA BHARU, 22 Sept: Kerajaan Kelantan akan menyenaraihitamkan sebuah syarikat yang didakwa mempunyai niat tertentu terhadap negeri itu berikutan pengumuman sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata kerajaan negeri atau parti juga tidak pernah melantik Nik Din Nik Mat, yang juga adiknya mewakili beliau menerima replica cek berjumlah RM4 bilion pada majlis makan malam baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco, di sini sebentar tadi.

Menurutnya lagi, Syarikat I’DA World Group Sdn Bhd (l’DA World) tidak mempunyai sebarang projek di negeri ini dan kerajaan negeri juga tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya.

“Saya tak hantar langsung wakil saya untuk menerima cek, malah media yang mendakwa penerima itu adalah wakil saya, karut belaka,” ujarnya.

Kerana itu, katanya syarikat berkenaan akan disenaraihitamkan.

Beliau bagaimanapun mengakui pemilik syarikat terbabit ada bertemu dengannya di rumah dan pejabat, namun ianya tidak membincangkan pasal perlantikan wakilnya hadir pada majlis itu nanti.

Dua malam lalu, syarikat I’DA World telah mengumumkan sumbangan RM4 billion kepada PAS Kelantan pada majlis makan malamnya yang diadakan disebuah hotel.

Replika cek berkenaan disampaikan oleh pengerusi eksekutif syarikat terbabit, Abdul Rahim Abdul Wahab kepada Nik Din yang juga adinda Tuan Guru.

Bagaimanapun, semalam Nik Din menafikan beliau mewakili mana-mana pihak.Katanya, kehadiran beliau hanya memenuhi jemputan peribadi dari syarikat tersebut.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa ketika ditemui memberitahu tindakan syarikat terbabit boleh menjejaskan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap syarikat tersebut khususnya berhubung motif perkara itu.“Ianya akan menjejaskan parti dan kerajaan. Kita semua tak hadir pada majlis itu sebab memang tak pernah bincangpun,” ujarnya.

Hapuskan Semua Kumpulan Gangster, Bukan India Sahaja

Hapuskan Semua Kumpulan Gangster, Bukan India Sahaja


Ditulis oleh Ustaz Idris Ahmad

TUESDAY, 21 SEPTEMBER 2010 10:14


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu pihak Polis menumpukan usaha membanteras gangterisma secara menyeluruh dan bukannya tertumpu pada kaum India sahaja seperti yang dipinta oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah.

Jika pihak Polis mengikut kehendak emosi Murugiah, masalah gangterisma tidak akan selesai kerana ia bukan wujud kalangan kaum India sahaja. Kenyataan Murugiah dengan sendiri memberikan gambaran buruk tentang masyarakat India dan ini tidak sewajarnya dilakukan oleh beliau sebagai seorang Menteri.

Gejala gangterisma ini harus dihapuskan hingga ke akar umbi termasuk kalangan VIP dan ahli Politik yang melindungi mereka. Kumpulan gangster ini ada di mana-mana dalam negara kita. Dalam pilihanraya pun mereka boleh muncul seperti serangan yang berlaku ke atas Markas Pemuda PAS ketika Pilihanraya Kecil Bagan Pinang.

Beberapa kawasan di Lembah Klang dikenali oleh masyarakat umum sebagai kawasan gangster seperti di kawasan Chow Kit, Jalan Pasar dan Jalan San Peng, Jalan Petaling dan Brickfield di Kuala Lumpur manakala di Selangor, kawasan Puchong dan Klang cukup ditakuti kerana menjadi sarang gangster dan Ah Long.

Pemantauan dan siasatan terperinci untuk menghapuskan kumpulan-kumpulan ini yang sebahagiannya terlibat dengan jenayah berat termasuk membunuh, menculik, menyiksa dan menyerang mangsa mereka.

PAS berharap agar pihak Polis dapat menjalankan tugas mereka dengan jujur dan tidak terbabit sama dalam memberikan perlindungan atau bersubahat dengan kumpulan gangster ini. PAS mahu satu jaminan daripada pihak Polis tentang keselamatan rakyat keseluruhannya.

Negara ini sudah cukup terkenal sebagai negara transit dadah, pemerdagangan orang dan juga penyeludupan barang serta penjenayah. Dan amat merisaukan jika dalam negara sendiri gangterisma dibiarkan berleluasa. Hapuskan mereka tanpa mengira gangster India, Cina atau Melayu kerana tiada bangsa dan agama yang membenarkan kewujudan kumpulan samseng dalam komuniti mereka.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Pelabur Percaya PR, BN Perlu Serah Mandat

Pelabur Percaya PR, BN Perlu Serah Mandat


Ditulis oleh Ustaz Idris Hj Ahmad

MONDAY, 20 SEPTEMBER 2010 11:34

Parti Islam Se-Malaysia PAS mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Mukhriz Mahathir kerana mendakwa bahawa pelabur tidak datang ke negara ini kerana percaya dakyah pembangkang. Kalau inilah kenyataan daripada anggota kabinet kerajaan BN yang bertanggungjawab mengenai kewangan dan pelaburan ke negara ini, maka BN eloklah ,menyerahkan madat kepada Pakatan Rakyat supaya lebih banyak pelabur datang ke negara ini.

PAS mempersoalkan keseriusan pengurusan ekonomi Kerajaan pimpinan Najib yang menyebabkan FDI Malaysia jatuh Menurut Laporan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Negara-Negara ASEAN, Malaysia hanya mampu meraih pelaburan bernilai USD 1, 381 juta sahaja pada 2009 berbanding USD 7, 318 juta pada 2008. Kejatuhan nilai pelaburan ini adalah yang tertinggi berbanding negara ASEAN lain.Malaysia yang tersenarai dalam kumpulan ASEAN 5 ketinggalan dengan negara Indonesia, Filifina, Thailand dan Singapura.

Alhamdulillah negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat mampu untuk menarik pelabur luar contohnya di Kedah pada tahun 2009 sebanyak RM1.837 bilion dan Selangor RM7.755 bilion. Ini menunjukkan bahawa pelabur masih percaya kepada negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat, dalam masa yang sama kerajaan pusat merungut,pelabur tidak datang kerana terpengaruh dengan dakyah pembangkang. Alasan yang paling lucu yang keluar daripada Tun Dr Mahathir ialah kerana pelabur luar tidak ada wang untuk melabur.

PAS mengingatkan kepada pemimpin BN seperti Datuk Husni dan Datuk Mukhriz, pelabur tidak datang ke negara ini ada sebab-sebab lain, yang perlu dimuhasabah oleh semua pemimpin di negara ini. Pelabur yang hendak datang ke negara ini, bukan pelabur dalam skim “Pak Man Telo”. Mereka mempunyai pakar-pakar pelaburan dan mengkaji tentang keberangkalian serta prospek pelaburan yang lebih kondisif. Macam mana pelabur hendak datang, kalau perjanjian yang jelas menyebut royalti kepada negeri yang ditemui minyak dicabul. Mereka pun risau apa pula jaminan pelaburan mereka, kalau dengan rakyat sendiri pun dilanggar perjanjian. Mereka gerun melihat video klip peguam V.K, Linggam drama dalam sistem perundangan. Pencabulan terhadap mandat rakyat di Perak semuanya menggerunkan pelabur. Indeks rasuah pula sampai sekarang tidak dapat diatasi, malahan semakin teruk, walaupun BPR sudah ditukar nama SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah). Yang ditangkap ialah ikan bilis, ikan jerung masih terlepas. Mereka yang ditangkap ialah Pegawai kerajaan jerung politik terlepas.

Kesemuanya ini adalah faktor-faktor yang menjauhkan pelabur untuk ke negara kita yang tercinta ini. Jika keadan ini berterusan berlaku, kenyataan Datuk Idris Jala yang mengatakan negara akan bangkrap pada tahun 2019 bukan satu perkara yang mustahil. Oleh kerana masa masih belum terlambat, BN pun sudah tidak mampu untuk menguruskan ekonomi maka eloklah serah, sebelum parah kepada Pakatan Rakyat untuk membuktikan kemampuan bagi kesejahateraan rakyat dan negara.



Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Monday, September 13, 2010

PERUTUSAN EIDUL FITRI DARI MAKKAH AL MUKARRAMAH

Bismillah walhamdulillah wassolatuwassalamu ‘ala rasulillah wa ‘alihi wa man waalah


Assalamu alaikum wbh,


ALLAHU AKBAR ALLAHU AKBAR ALLAHU AKBAR WALILLAHIL HAMD



Dalam kesibukan dan cuaca panas di Makkah, saya cuba mencari sedikit ruang untuk menulis bagi paparan warga pas puchong.net sehari dua sebelum tibanya Eidul Fitri tahun ini. Alhamdulillah, Allah s.w.t telah mempermudahkan segala urusan saya sepanjang berada di dua tanah haram ini. Kemuncak keasyikan beribadah di sini ialah pada malam 27 Ramadhan dan malam dibacakan doa khatam al-Qur’an. Berita di sini melaporkan, malam tersebut hampir 3 juta manusia berkumpul di wadi yang mulia ini.

Saat itu sudah tiada rasa segan silu dan malu dengan orang sebelah menyebelah, air mata jatuh mengalir tika mendengar syahdunya doa Imam dan gamatnya suara jemaah mengaminkan doa tersebut. Berdiri dalam tempoh yang lama, menadah tangan ke langit, merayu-rayu memohon belas kasih dan keampunan Allah Ta’ala. Mungkin itulah sedikit gambaran saat kita merayu-rayu belas kasih Allah di Mahsyar kelak. Tiada kata dan bahasa yang dapat diungkap kecuali mereka yang pernah merasai keindahan beribadah pada saat itu sahaja.

Ramadhan sudah hampir melabuhkan tirai. Semua tawaran hebat daripada Rabbul Jalil akan tamat hanya dalam beberapa ketika sahaja. Kalaulah manusia dapat mendengar laungan khas di bulan Ramadhan sepertimana yang dikhabarkan oleh Nabi s.a.w dalam hadisnya, “Ya baghiyal khairi aqbil, wa ya baghiyas sarri aqsir”, nescaya mereka akan berlumba-lumba mendapatkan kelebihannya, dan serta merta menghentikan segala perkara keji, mungkar dan maksiat.

Ramadhan boleh dianggap bulan “genjatan senjata”. Biasanya istilah ini digunakan dalam situasi peperangan. Dalam peperangan, kumpulan yang mula-mula mencabuli “genjatan senjata” akan dianggap kumpulan yang tidak pandai menghormati terma-terma perjanjian dan sekaligus membatalkan perjanjian yang telah termeterai.

Demikianlah juga halnya Ramadhan. Ia menuntut kita melaksanakan “genjatan” pada perkataan, perbuatan, atau apa-apa yang bakal mencemarkan kesuciannya. Sehingga Nabi s.a.w mengingatkan pada sesiapa yang enggan meninggalkan qawl azzur [bercakap bohong, keji, fitnah, mendedahkan aib oarang lain dsb..] dan amalan-amalan yang berkaitan dengan, lebih baik orang ini agar tidak berpuasa kerna Allah s.w.t tidak berhajat kepada puasa manusia jenis ini.

Malangnya, sekian banyak kelebihan, kemanisan, keharuman dan sebagainya yang indah-indah menjadi tawaran istimewa Ramadhan, sedikitpun tidak menarik perhatian pada sesetengah spesies manusia ini. Mungkin kerna sudah terlalu asyik, sedap dan berahi pada perkara-perkara keji, fitnah-memfitnah, buruk sangka, sabotaj mensabotaj, mendedahkan keaiban orang lain, adu domba dan sebagainya yang sudah dianggap makanan ruji yang disantap oleh mereka setiap hari. Tak ubah seumpama anjing, yang merasa nikmat pada sisa-sisa makanan yang digeledah dari tong sampah, ataupun yang berlari-lari terjelir lidah mengejar tulang yang licin tiada berisi yang dibaling tuannya. Saban hari tulang itu dibaling oleh tuannya, saban harilah juga anjing itu akan mengejar, menggonggong dan menjilat-jilat tulang itu. Walaupun gambaran ini agak hina, tapi itulah sehampir-hampir perumpamaan pada manusia yang mencemar kemuliaan Ramadhan.

Saat ini kita sudah di hujung Ramadhan. Esok kita akan menyambut hari kemenangan yang besar. Kemenangan yang sewajar kita sambut sekiranya kita telah menjalani Madrasah Ramadhan sebaiknya. Sudah tentu kemenangan yang mutlak adalah di hari akhirat kelak. Kemenangan di dunia ini hanya sebagai ibtila’ [ujian] dan pinjaman sementara daripada Allah Ta’ala.

Dalam menghadapi kemenangan ini, kita semua diuji oleh Allah Ta’ala. Dan ujian paling besar ialah kenikmatan dunia. Pangkat dan kuasa adalah sebahagian nikmat dunia. Ramai orang yang gagal dalam ujian ini. Pengaruh, kekayaan dan kemewahan semuanya boleh terhasil dengan adanya pangkat dan kuasa. Kalau betul dan lurus tadbirnya, maka rahmat dan redha Allah yang bakal diperolehinya. Sebaiknya jika melencong dan bias, maka azab dan murka Allah pula yang bakal dihadapinya.

Justeru kepada diri saya terlebih dahulu, dan kepada semua sahabat-sahabat yang memegang jawatan biar apa pun nama jawatan itu, laksanakan amanah yang dipikul anda dengan sebaiknya. Tetapkan REDHA ALLAH adalah sasaran dan matlamat kerja buat anda. Ambillah teguran dan ingatan orang lain selama mana ia boleh dianggap sebagai nasihat yang baik. Singkirkanlah dan abaikan saja sekiranya teguran dan ingatan itu disampaikan dalam selimut hasad dengki, takkabbur dan buruk sangka.

Sekiranya kita benar, yang berhak membela hanyalah Allah s.w.t. Jangan sekali-kali mengharapkan pembelaan manusia. Manusia boleh berubah apabila kehendaknya tidak dituruti. Berapa banyak kawan yang bertukar menjadi musuh, dan berapa banyak pula musuh yang dengan hidayah Allah bertukar menjadi sahabat. Mengadulah, merintihlah dan merayulah pada Allah Rabbul Jalil. Dialah ALLAH, sebaik-baik tempat kita mengadu.

Sebagai bekalan kepada semua yang bergelar pemimpin, ambillah pengajaran kisah hidup Saidina Usman bin Affan r.a. Kisah yang wajar dijadikan muhasabah dalam urusan kepimpinan. Hujung hidupnya berakhir dengan fitnah. Beliau dikritik kuat cara pentadbirannya. Akhirnya, khalifah ke-3 dan menantu Rasulullah s.a.w. ini yang dimalui oleh para malaikat ini, menemui syahidnya dengan tangannya memeluk mushaf al-Qur’an. “Pemilik Dua Cahaya Rasulullah” ini akhirnya menjadi korban di tangan para pemberontak. Mayatnya disemadikan dengan senyap-senyap berhampiran perkuburan Baqi’ al Gharqad dan hanya dihadiri beberapa orang sahabat sahaja.

Mungkin akhir bagi seseorang pemimpin akan berlaku sebagaimana yang berlaku pada Saidina Usman. Apabila fitnah pemberontak sudah mengaburi mata, yang haq dianggap batil dan yang batil dianggap haq, dan diamnya seorang pemimpin kerna mahu menutup keaiban orang lain akan dianggap bisu dan mahu menyembunyikan maklumat. Sekiranya Allah s.w.t memilih saya mengakhiri urusan kepimpinan ini sebagaimana yang dihadapi oleh Saidina Usman, saya adalah orang yang paling bersyukur dan gembira kerna saya sedar saya tidak layak untuk memperolehinya.

Kepada semua ahli-ahli PAS Puchong khususnya, saya menyeru marilah kita gunakan sebaik yang mungkin bekalan-bekalan tarbiyah sepanjang di berada dalam Madrasah Ramadhan ini. Kuatkanlah perjuangan ini dengan iman, taqwa, sabar, istiqamah yang kita tuai dalam ibadah puasa. Perjuangan ini suatu perjalanan yang jauh, penuh onak dan duri dan tak dihampari permaidani indah.

Kalau sekiranya matlamat anda berada di dalam perjuangan ini mengharapkan kenikmatan dunia yang fana’ ini semata-mata, ketahuilah anda telah silap memilih jalannya. Anda akan menjadi serugi-rugi manusia. Jangan anda mencari nikmat dunia ini yang sementara, sehingga anda terlupakan kehidupan akhirat yang kekal abadi. Sekiranya akhirat yang kita cari maka dunia akan menuruti kita, sebaliknya jika dunia yang kita kejar maka akhirat akan mengecewakan kita.

Mudah-mudahan matlamat puasa, la’allakum tattaquun [supaya kamu bertaqwa] akan menjadi kurniaan istimewa Allah s.w.t kepada kita. Perjuangan ini hanya akan dibantu Allah apabila pemimpin dan “bala tentera” yang bersama-samanya berada dalam KETAQWAAN PADA ALLAH TA’ALA.

Akhirnya, mewakili saff kepimpinan PAS Puchong saya mengucapkan SELAMAT HARI RAYA EIDUL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN kepada semua ahli-ahli PAS Puchong, para pengunjung paspuchong.net dan Blog PAS Puchong, dan semua muslimin dan muslimat di mana sahaja anda berada. Mudah-mudahan Allah s.w.t memberikan pedoman dan barakah pada semua gerakerja kita selama ini.


EID MUBARAK, TAQABBALLAHU LANA WA LAKUM SOLIHUL A’AMAL

KULLU ‘AM WA ANTUM MUJAHIDUN


Salam hormat dari Tanah Haram Makkah al Mukarramah;



Muhammad Sufyan Ismail
YDP PAS PUCHONG



Akhir Ramadhan, 1431

Monday, September 6, 2010

PAS sokong Tengku Abdullah, rakyat wajib tolak parti perkauman dan bersatu dengan Islam

Oleh Idris Ahmad

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyokong dan menjunjung kasih keatas titah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahukan umat Islam menolak cara hidup berpuak-puak dan terus mengimarahkan Masjid dengan majlis Ilmu.

PAS dapat mengambarkan betapa besarnya harapan pihak istana untuk rakyat dan parti-parti politik di negara ini bersatu atas nama Islam dan bukannya berpuak-puak mengikut bangsa dan kaum masing-masing. Politik perkauman dan menyertai parti politik perkauman adalah satu kerugian buat umat Islam. Kesatuan umat Islam dan sikap berani bersaing menjadi teras kekuatan umat zaman Rasulullah seperti yang baginda titahkan.

Hanya Islam yang mampu memberikan keharmonian dan keamanan serta menyatukan rakyat sedangkan politik mengikut bangsa dan kaum tertentu hanya memecahkan lagi masyarakat. Orang Melayu tidak seharusnya duduk dalam parti Melayu sahaja, orang Cina juga tidak boleh duduk parti Cina sahaja, Orang India pun begitu.

PAS kini menjadi platform terbaik untuk rakyat bersatu padu kerana disini umat Islam tak kira Melayu, Cina dan India dapat bersama dengan harmoninya. Malah dengan keterbukaan PAS yang mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang majoriti ahlinya adalah kalangan bukan Islam telah menjadikan PAS sebagai pilihan terbaik menyatukan rakyat bukan sahaja yang berbeza bangsa, malah yang berbeza agama juga bersatu dalam PAS.

PAS juga menyanjungi keprihatinan Tengku Mahkota Pahang yang menyebut dengan jelas bahawa Masjid seharusnya diimarahkan dengan aktiviti keagamaan, dijadikan pusat perpaduan, menimba ilmu dan perhimpunan masyarakat setempat.

Inilah idea yang dibawa dan diperjuangkan PAS selama ini. Di Selangor sebagai contoh, semasa Umno memerintah, Masjid dan Surau dikunci dan dirobohkan hanya kerana mereka menjemput para penceramah yang menyokong PAS untuk berikan kuliah. Penceramah PAS amat profesional, mereka tahu membezakan kuliah agama dan ceramah politik. Hanya kerana berbeza politik kariah masjid dihalang memasuki masjid mereka. Jawatankuasanya ditukar jika bukan ahli Umno.

Tetapi selepas PAS-Pakatan memerintah Masjid Surau yang dikunci dibuka semula. Para penceramah tanpa mengira parti politik dijemput untuk berkongsi ilmu. Masjid Surau menjadi pusat aktiviti belia. Ada yang dijadikan pusat tuisyen juga. Malah kariah Masjid Surau semakin ramai kalangan orang muda kerana begitu banyak program diadakan termasuk sukan dan juga gotong-royong. Begitulah yang berlaku hingga ke hari ini.

PAS berharap rakyat Pahang khususnya dan diseluruh Malaysia, dapat melihat hasrat kepimpinan mereka yang mahukan Islam diletakan ditempat yang sewajarnya dan menukar Kerajaan yang mempertahakan perjuangan berasaskan kaum dan puak mereka sahaja. Dengan menolak Umno-BN sekaligus umat Islam khususnya kalangan kaum Melayu dapat bersatu atas nama Islam.

PAS mendoakan kesejahteraan Yang DiPertuan Agong, Sultan Pahang, Tengku Mahkota, seluruh kerabat DiRaja dan rakyat jelata. Semoga negara ini akan terus makmur dibawah rahmat Allah swt.

Ust. Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat
PAS PusatPAS PuchongBlog YDPMGP